Tuesday, 15 May 2018

Impian : Cita-cita atau Mimpi ?

Assalamualaikum dan salam ukhuwah sebagai pembuka bicara, 

Beberapa hari lepas saya ada menyaksikan sebuah filem tamil di TV2 yang bertajuk 36 Vayadhinile. Cerita tersebut sangat menarik kerana ianya berkisarkan tentang seorang wanita yang telah berkahwin yang cuba untuk bangkit untuk memperjuangkan impiannya untuk menjadi seorang wanita yang berjaya walaupun ramai orang sentiasa cuba untuk menjatuhkan semangatnya.  

Mesti semua nak tahu serba sedikit plot cerita tersebut kan? Jangan risau, di bawah ini saya akan ceritakan serba ringkas berkenaan plot cerita tersebut. 

Cerita tersebut dimulakan dengan pengenalan kepada seorang watak wanita yang bernama Vasanthi yang bekerja di bawah agensi kerajaan. Dia telah berkahwin dan mempunyai seorang anak bernama Mithi. Pada permulaan filem ini, watak Vasanthi telah gagal dalam temuduga untuk mencari kerja tambahan untuk membiayai kos penerbangan ke Ireland bersama suami dan anaknya dan hasratnya tersebut terpaksa dipendam buat sementara waktu. Cerita ini diteruskan apabila seorang pesuruhjaya polis telah mengeluarkan arahan untuk menyiasat latar belakang Vasanthi. Pada mulanya saya sendiri tidak faham kenapa dan mengapa polis mula bertindak sedemikian kepada Vasanthi, sehinggakan saya sendiri membuat andaian yang Vasanthi ni telah diperangkap oleh seorang menteri jahat dan dijadikan kambing hitam untuk menutupi kesalahan jenayah yang telah berlaku. Tetapi ternyata semua telahan saya ternyata salah dan semuanya terungkai apabila dia dijemput untuk bertemu dengan Presiden India kerana satu soalan yang ditanya oleh Mithi kepada Presiden India telah menarik minat Presiden India untuk bertemu dengan mak kepada budak tersebut iaitu Vasanthi. 

Vasanthi sangat terkejut dan berdebar kerana anaknya, Mithi tak nak beritahu soalan yang dia tanya kepada Presiden India disebabkan sehari sebelum tu mereka telah bertengkar disebabkan Mithi nak bekerja apabila mereka pindah ke Ireland. Di pendekkan cerita, Vasanthi pun bertemu dengan Presiden India tetapi sayang dia telah pengsan sebaik sahaja bersua muka dengan Presiden India dan perkara ini telah menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat India sehinggakan ada orang yang membuat satu page di mukabuku semata-mata untuk mengutuk dan mempermainkan Vasanthi. Perkara ini menyebabkan suami dan anak Vasanthi berasa malu sehingga mereka membuat keputusan untuk pergi ke Ireland tanpa Vasanthi. Vasanthi sangat kecewa dan mula berasa putus asa dalam hidupnya kerana dia sebenarnya anak yatim piatu dan suami serta anaknya sahajalah yang ada untuknya. Vasanthi tetap berusaha untuk pergi ke tempat kerja walaupun dia akan diejek dan dipermainkan oleh rakan sekerjanya dan pada masa yang sama suami dan anaknya telah pergi ke Ireland meninggalkan Vasanthi di India.

Hari terus berlalu sehinggalah pada suatu hari, seorang kawan kepada Vasanthi datang dan memberikan semangat kepada Vasanthi. Dia telah mengimbas kembali kisah hidup mereka di universiti dulu. Satu persoalan yang dia tinggalkan kepada Vasanthi adalah " di mana Vasanthi yang dulu?". Persoalan ini lah yang menyedarkan dan mengejutkan semula Vasanthi daripada tidur yang panjang untuk kembali mengejar impiannya. Lalu di sinilah bermulanya perjuangan Vasanthi untuk menjadi seorang wanita yang lebih berjaya dan mampu mengubah nasib rakyat India.

Kisah ini sangat menarik untuk ditonton oleh anak muda mahupun golongan tua kerana ianya menceritakan tentang kebangkitan dalam mengejar impian.

Saya sangat tertarik dengan filem ini kerana ianya berkaitan dengan impian dalam hidup seseorang. Saya yakin ramai daripada kalangan kita sudah lama meninggalkan cita-cita untuk mengejar impian disebabkan kesibukan bekerja, berkeluarga mahupun disebabkan sifat malas yang hadir dalam diri seseorang. Pernah tak terlintas dalam fikiran kita pasal impian kita yang pernah menjadi suatu matlamat untuk dicapai suatu masa masa dahulu?

IMPIAN??

Apa yang menarik dengan impian ni sebenarnya? Apakah maksudnya sama dengan cita-cita? Apa dan di mana impian anda?

Ramai orang selalu berkata " dulu saya ada impian untuk menjadi itu dan ini, untuk memiliki itu dan ini tetapi sayang saya sangat sibuk dan saya sudah tua untuk mempunyai impian tersebut". Kenapa ayat-ayat ni keluar dari mulut seseorang yang dahulunya mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengejar impian mereka? Apakah disebabkan semata-mata sibuk ataupun sudah hilang semangat untuk mengejar semula impian tersebut? Saya yakin dan percaya yang kita sendiri mempunyai jawapan untuk persoalan tersebut.

Saya yakin dan percaya kita semua sudah maklum dan faham makna tersirat berkenaan impian dan juga perbezaan serta persamaan di antara impian dan cita-cita. Oleh itu, saya tidak akan hurai panjang berkenaan bab ni tapi cukuplah dengan menjentik sedikit pemikiran kita semua dengan persoalan di atas ni. Saya tertarik untuk memulakan penulisan ini disebabkan saya sedar akan impian saya untuk memberi motivasi kepada orang ramai dan saya juga ingin memulakan langkah baru untuk mengejar semula impian-impian saya. Dan melalui penulisan inilah akan menjadi saksi langkah pertama yang saya ambil untuk memulakan misi merantau mengejar impian saya.

Ini merupakan entry saya yang pertama dan saya sengaja memulakannya dengan penulisan bertajuk impian kerana di sini lah bermulanya cita-cita kita untuk mengejar kejayaan. Pernah tak kita terfikir, semua kejayaan yang kita capai ini adalah kerana dahulu kita mempunyai impian yang kita nak capai? Kejayaan itu bermula daripada sebuah mimpi yang dijadikan impian dan melahirkan semangat untuk terus berusaha demi merealisasikan sebuah harapan yang dipegang sejak dahulu. ketahuilah yang impian itu merupakan satu elemen yang sangat penting untuk seseorang terus maju kehadapan dan menjadi seorang yang berjaya. Dalam hidup ini, kita memerlukan suatu matlamat atau cita-cita untuk dikejar dan diusahakan demi mencipta kejayaan untuk diri sendiri. Dengan adanya impian, kita akan mampu menghadapi segala jenis ujian dan dugaan yang mampu mendidik diri kita untuk menjadi seorang yang lebih positif dan lebih terkehadapan.

Apakah impian itu sebuah harapan atau hanya sekadar sebuah angan-angan mat jenin?

Saya sengaja mengeluarkan persoalan ini untuk kita semua kembali berfikir berkenaan impian masing-masing dan di sini lah kita perlu pilih sama ada impian itu cita-cita atau hanyalah sebuah mimpi yang menjadi mainan dalam tidur kita. Pilihan ini ada di tangan kita sendiri dan bukan tangan orang lain. Ingat, impian itu bukan untuk orang muda sahaja, tetapi untuk semua orang tak kira kaya mahupun miskin, tak kira sihat mahupun sakit, kerana impian itu adalah sebuah pengharapan dari lubuk hati seseorang.

Ayuh bangkit dan sedarkan diri yang masih diulit mimpi untuk mengejar impian kita. Impian yang menjadikan kita bersemangat dan berusaha keras. Cuba ingat kembali impian-impian kita yang telah melahirkan semangat yang mampu menolak kita untuk berdiri pada hari ini. Ambil masa dan renung semula, apakah ini hidup yang kita inginkan, kehidupan yang akan kita ceritakan kepada anak cucu kita?

Mungkin ramai yang akan tersedar tetapi tidak tahu cara atau langkah yang sepatutnya diambil. Jangan risau, saya ada untuk membantu anda. Tips di bawah ini hanyalah sebuah teori semata-mata melalui pemerhatian dan pengalaman saya.

Langkah-langkah tersebut adalah :

1. Keluarkan sekeping kertas dan tulis semula semua impian anda.
2. Buat Check & balance dan lihat berapa banyak impian yang telah berhasil dibuat dan sebaliknya.
3. Dapatkan motivasi sama ada daripada pasangan anda atau melalui video-video inspirasi.
4. Susun strategi yang ampuh untuk melaksanakan impian tersebut ( kos perbelanjaan dan lain-lain).
5. Nikmatilah impian anda.

Tips yang saya bagi ni sangat mudah dan senang tetapi akan memerlukan semangat dan keazaman yang kuat kerana bukan mudah untuk merealisasikan impian yang ada. Di bawah ini saya sertakan sebuah video untuk tontonan semua untuk memberi sedikit sebanyak motivasi untuk bangkit berdiri mengejar impian masing-masing.





Selamat membaca dan selamat mencuba. Saya doakan kita semua mampu untuk mencapai impian masing-masing. Satu persoalan yang saya akan tinggalkan untuk kita sama-sama fikirkan,

Apakah impian itu sebuah cita-cita atau hanyalah sekadar mimpi?

Ambil masa dan renungkan lah. 

No comments:

Post a Comment

Aku Si Kosong

Assalamualaikum dan salam ukhuwah saya ucapkan sebagai pemula tinta kali ini. Sebagai muqaddimah untuk entri pada kali ini, saya ...