Tuesday, 19 June 2018

Aku Si Kosong

Assalamualaikum dan salam ukhuwah saya ucapkan sebagai pemula tinta kali ini.





Sebagai muqaddimah untuk entri pada kali ini, saya ingin mengajak anda untuk bermuhasabah sebentar sambil ditemani dengan musik di atas ini. Saya sangat menggalakkan untuk anda pergi ke tempat yang tiada orang, yang sunyi dan sesuai untuk menenangkan perasaan, hati serta fikiran anda. Duduk dengan tenang dan tutuplah mata anda.  Ambillah sebanyak mana masa yang anda inginkan dan jangan tergopoh-gapah kerana bukan senang untuk mendapatkan masa yang berkualiti dan lapang untuk bermuhasabah diri, lebih-lebih lagi untuk kita ini yang sentiasa sibuk dengan hal-hal duniawi. Gunakanlah masa ini untuk menyelami diri dan hati anda. Cuba imbas semula apa yang kita telah tinggalkan dan apa yang kita tengah buat yang menyebabkan kita dilanda pelbagai masalah dan tekanan dalam hidup. Kemudian, fikirkanlah akan status kita di bumi Allah ini. Siapa kita? Apa yang kita dah lakukan? Pejamkan mata dan cuba untuk mencari mood muhasabah dalam diri masing-masing sambil berfikir sejenak dengan ditemani alunan merdu musik ini. Saya sangat menggalakan anda untuk lakukan muhasabah ini terlebih dahulu sebelum meneruskan pembacaan kerana langkah ini akan membantu anda untuk lebih memahami isi kandungan entri pada kali ini. Selamat bermuhasabah. Pejamkan mata anda dan tenangkan diri anda dan hayati musiknya.




Alhamdulillah, sudah selesai? Sekiranya memerlukan masa lebih, silakan untuk terus bermuhasabah.



Baik, bagaimana perasaan anda sekarang? Apakah ianya semakin baik ataupun hanya terasa seperti biasa? 




Pernah tak, anda berasa kehilangan sesuatu dalam diri anda atau lebih spesifik dalam jiwa anda? Bukan hilang kekasih atau hilang kawan, tetapi perasaan ini seolah-olah anda tidak kenal kepada diri anda sendiri. Sebuah perasaan yang menyebabkan anda berasa kehilangan sesuatu dalam diri anda namun anda tidak tahu apa yang sebenarnya telah hilang. Perasaan yang membuatkan anda mempersoalkan segala tindakan mahupun perkara yang berlaku pada diri anda dan keadaan sekeliling anda. Anda diserbu dengan 1001 persoalan secara tiba-tiba membuatkan diri anda tidak tenang dan diserang pelbagai kerisauan. Anda mula untuk menyendiri dan menjauhi kelompok rakan-rakan anda atau mungkin anda masih lagi berada dalam kelompok tersebut tetapi anda berasa kosong persis seperti sebuah paradoks bahasa iaitu umpama aku bersendirian di tengah kesibukan orang. Anda mula menjadi lesu dan tidak berdaya dalam membuat aktiviti yang dahulunya anda amat sukai. Apabila rakan-rakan anda mula bertanyakan keadaan anda, anda mula untuk mengelak daripada berkongsi masalah ini ataupun anda mampu untuk berkongsi masalah tersebut tetapi rakan anda buat tidak tahu untuk membantu menyebabkan anda semakin kosong.

Ketahuilah yang simptom di atas ini menunjukkan yang anda sebenarnya tengah berada dalam episod kekosongan hidup. Persoalan mungkin akan timbul, apa yang dimaksudkan dengan "kekosongan" itu? Sebenarnya, ini adalah perkataan yang saya gunakan untuk menggantikan perkataan "depression". Saya menggunakan perkataan kekosongan ini kerana perkataan ini sendiri menggambarkan diri kita sewaktu dalam keadaan yang seolah-olah tiada apa-apa dalam jiwa kita. Malahan, ada sesetengah orang tidak ingin mengaku yang dia tengah berada dalam keadaan depression kerana perkataan depression tu sendiri membawa satu makna yang negatif dalam diri mereka. Oleh sebab itu, saya menggunakan perkataan "kosong" kerana perkataan ini tidak akan membawa kepada kesan negatif kepada seseorang kerana perkataan ini sendiri boleh menceritakan keadaan sebenar seseorang itu.

Sebelum kita pergi jauh ayuh kita fahamkan dahulu maksud depression mengikut kajian doktor-doktor perubatan dalam bidang psychology :

"Depression (major depressive disorder) is a common and serious medical illness that negatively affects how you feel, the way you think and how you act. Fortunately, it is also treatable. Depression causes feelings of sadness and/or a loss of interest in activities once enjoyed. It can lead to a variety of emotional and physical problems and can decrease a person’s ability to function at work and at home."

Namun begitu, entri saya pada kali ini bukanlah untuk menceritakan berkenaan bagaimana untuk mengatasi depression ini menggunakan kaedah saintifik seperti dalam bidang seorang doktor perubatan. Tetapi, inshaa Allah entri pada kali ini, saya akan cuba untuk kongsikan bagaimana untuk menangani masalah ini dari sudut dalaman atau kerohanian iaitu lebih tertumpu kepada hati dan pemikiran kerana perkara ini akan membawa kesan yang negatif kepada hati dan pemikiran sekiranya tidak ditangani dengan cepat. Oleh itu, saya akan membawa anda ke alam perubatan hati dan pemikiran. Semoga dengan ini, inshaa Allah dapatlah membantu anda untuk mengurangkan beban tersebut ataupun anda dapat menggunakan ilmu ini untuk membantu rakan-rakan yang lain yang tengah menghadapinya.

Baiklah, saya mulakan dengan sedikit pendedahan kepada cara penyelesaian masalah dalam dunia kejuruteraan. Apabila sekumpulan jurutera menghadapi sesuatu masalah dalam projek, mereka akan mula menyelesaikan masalah dengan mengambil langkah pertama iaitu mencari punca kepada masalah tersebut terlebih dahulu sebelum mengaplikasikan solusi-solusi yang sepatutnya.  Begitu juga dengan entri saya pada kali ini, saya akan mulakan dengan mengajak anda untuk memuhasabahkan diri seperti yang saya nyatakan dalam muqaddimah untuk entri ini. Muhasabah diri merupakan satu kaedah yang sangat berkesan untuk anda mencari dan menyelidik semula semua kesalahan-kesalahan yang anda permah lakukan. Dengan bermuhasabah ini, anda akan mampu membuat "Check and balance" terhadap kehidupan anda. Mungkin pada awalnya anda akan mengalami sedikit kesusahan dan kepayahaan disebabkan tidak biasa dengan cara ini namun percayalah, anda sangat memerlukan kaedah ini untuk mencari punca kekosongan itu.

Antara soalan yang saya sangat suka tanyakan kepada diri saya sendiri semasa sesi muhasabah adalah apa yang berlaku dengan hidupku? Di mana aku berada sekarang? Bagaimana hubunganku dengan keluarga, kawan-kawan dan umumnya kepada manusia? Dan yang akhir sekali saya suka bertanya akan hubungan saya dengan Tuhan Pencipta Alam? Sekiranya kali pertama anda tidak berasakan apa-apa perasaan, tolong dan jangan berhenti untuk berusaha mencuba lagi. Inshaa Allah di satu saat nanti anda akan merasai kehangatan air mata yang jatuh di pipi anda dan rasa kasih dan sayang dalam hati anda. Pada waktu inilah anda akan menemui punca sebenar kenapa anda rasa kosong. Muhasabah adalah satu senjata yang ampuh untuk mengenali diri, keistimewaan anda malahan ramai golongan-golongan yang berjaya menjadikan masa ini untuk berfikir dalam-dalam berkenaan diri, dan mengenal kekuatan dan kelemahan diri. Inshaa Allah, langkah ini bukan sahaja akan membantu anda mencari punca masalah malahan akan banyak memberi kesedaran kepada kita semua.

Langkah seterusnya adalah bertaubat dan menunaikan segala apa yang wajib untuk anda tunaikan. Jagalah semula hubungan anda kepada yang maha Esa kerana Dia lah yang menurunkan ujian ini untuk menegur kita, untuk menguji kita semasa dalam kesusahan begini kepada siapa kita meminta pertolongan di saat tiada siapa yang mampu membantu? Adakah kepada Allah atau manusia? Terkadang, ramai orang tahu akan kepentingan langkah ini namun mereka menganggap langkah ini hanyalah langkah sampingan sahaja. Sungguh, apabila kita mula meninggalkan langkah yang kedua ini, saya yakin dan percaya hati yang kosong itu akan dipenuhi dengan gejala sia-sia dan tunggu lah di akhirnya anda akan merasai satu penyakit yang tiada ubatnya di dunia ini kecuali dengan memohon kepada Allah SWT. Terkadang ramai yang menjadikan alasan kesibukan dengan kerja, keluarga dan pelbagai lagi sehingga kita tidak mempunyai masa untuk untuk diluangkan sebentar khas untuk Pencipta kita. Mungkin ada yang berkata "ala, aku dah solat lima waktu tu cukuplah kot, aku sibuk, aku penat, aku stress lah nak buat. Lebih baik aku tidur dan berehat", semata-mata untuk mengelak daripada menambahkan amalan lain. Sungguh, semakin kita beralasan semakin itu jugalah kita akan diberi ujian yang pada hakikatnya untuk menyedarkan kita daripada tidur yang terlalu lena.  Saya memberi jaminan yang langkah ini adalah untuk menguatkan semula hati anda yang berada dalam kondisi lemah disebabkan kekosongan yang berlaku. Pada saat beginilah penting untuk kita menguatkan dan mengisi semula kekosongan itu dengan nama Allah dan Rasul Nya.

Langkah terakhir adalah dengan memperbaiki semula hubungan anda bersama rakan-rakan mahupun keluarga dengan erti kata mudah iaitu menjaga hubungan kepada sesama manusia. Apabila anda dilanda kekosongan ini, anda akan mula untuk menjauhkan diri anda daripada kawan-kawan dan keluarga disebabkan anda terlalu sensitif pada ketika ini. Semakin anda menjauhi kelompok manusia, semakin teruklah kondisi anda. Hubungan sesama manusia sangat penting untuk menjamin kewarasan dan kemampanan kita berfikir. Malahan hubungan ini juga mampu untuk membantu kita mendapatkan semula semangat untuk memulihkan hati yang dilanda keresahan. Namun begitu, cabaran yang paling susah untuk ditangani adalah untuk menjadi seorang yang terbuka, yang senang untuk menerima nasihat dan teguran. Buang dan rendahkan ego anda untuk mendapatkan bantuan daripada orang lain.

Tiga langkah yang mudah untuk diceritakan tetapi adakah anda mampu untuk mengaplikasikannya? Mampukah anda untuk mengorbankan masa yang bernilai untuk anda semata-mata untuk bermuhasabah? Mampukah anda untuk bangkit di tengah malam untuk mencari redha dan kemaafan daripada sang Pencipta? Dan mampukah anda untuk menurunkan ego anda untuk menerima teguran dan nasihat daripada orang yang mungkin tiada apa-apa di mata anda? Jangan jawab menggunakan akal fikiran tetapi jawablah dengan usaha yang sewajarnya diambil oleh orang yang ingin berubah.

Langkah-langkah yang saya kongsikan ini adalah sangat asas dan sangat mudah tetapi sangat berat yang mana mampu membina sebuah asas yang kukuh dalam diri anda. Ingatlah sekiranya kita dilanda kesusahan dan ujian, ujian itu adalah petanda yang Allah merindui kita untuk menitiskan air mata semata-mata kerana Nya. Hati yang kosong kalau diisi dengan perkara sia-sia sudah pasti akan menyebabkan kehidupan yang sia-sia, tetapi hati yang diisi dengan kepercayaan kepada Allah SWT sudah pasti akan membentuk kehidupan yang lebih bahagia. Tiga langkah yang nampak mudah tetapi merangkumi pelbagai rahsia kekuatan untuk diri, cuba untuk melihat dari sudut yang berbeza inshaa Allah saya yakin anda mampu melihat satu perkara yang akan memberi impak yang positif dalam diri anda. Ayuh kita cuba amalkan bermula pada hari ini untuk menguatkan diri dan keimanan kita.  Allah berfirman dalam surah Al-Ra'd ayat yang ke 11 yang bermaksud ;

" Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri" 

Anda bijak dan anda mampu mengubahnya. Jumpa lagi di entri yang seterusnya dan selamat membaca.

Wednesday, 23 May 2018

Sebuah Karya Kehidupan : Derita Vs Bahagia

Ini adalah entry saya yang baru, boleh lah baca sambil mendengar lagu daripada youtube ni. Tenangkan fikiran anda.




Petang itu merupakan petang yang sangat tenang diiringi bunyian air hujan yang lebat jatuh membasahi bumi membuatkan diri ini semakin malas untuk bangkit dari sofa yang empuk. Suhu semakin sejuk dan mula mendodoikan sepasang mata untuk tidur melayari alam mimpi yang indah. Namun, aku gagahkan diriku untuk terus menyaksikan air hujan yang turun dengan lebatnya sambil mengimbas memori kanak-kanakku terutamanya di musim hujan. Sungguh, suasana inilah yang aku tunggu untuk mengubat rindu di hati ini. Suasana yang cukup mengasyikkan membuatkan aku hanyut dibuai lamunan fatamorgana dunia. Tiba-tiba sebuah pesanan ringkas masuk menyebabkan lamunanku terhenti, aku sedikit terkejut apabila melihat nama yang tertera di skrin telefonku. 1001 soalan mula menerpa ke benak pemikiranku yang kini tengah penuh dengan tanda tanya. Nama itu dimiliki oleh seseorang yang aku sangat kenal sejak di bangku sekolah menengah lagi. Namun disebabkan kami terpisah selepas SPM, kami sangat jarang berhubung antara satu sama lain. Tetapi aku yakin dan percaya, hubungan persahabatan yang terjalin di antara kami masih utuh seperti dahulu. Nadzrie, nama yang diberikan membuatkan aku terimbas kembali sebuah memori di kala aku dan dia masih lagi di alam persekolahan.

Tahun 2013 merupakan tahun terakhirku di sekolah menengah sebagai seorang pelajar tingkatan lima kerana pada tahun ini aku dan rakan-rakan yang lain akan menghadapi sebuah peperiksaan besar iaitu SPM yang juga menandakan kami bakal bergraduasi dari sekolah menengah. Tahun ini juga merupakan tahun yang penuh dengan tanggungjawab kerana aku telah dilantik menjadi ketua Pelajar sesi 2013. Sebagai seorang ketua pelajar, aku dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan membantu guru-guru mengurus atur semua pelajar yang ada di sekolah. Aku sangat tegas bila mana berbicara soal peraturan sekolah namun aku tetap bertolak ansur sekiranya aku menerima penjelasan yang munasabah dan aku sangat rasional dalam membuat atau mengeluarkan suatu arahan.

Aku ingat lagi akan sebuah peristiwa yang berlaku pada tahun tersebut, sebuah peristiwa yang cukup memberi kesan negatif kepadaku untuk meneruskan tugas sebagai seorang ketua pelajar namun turut memberi impak dan pengajaran untuk hidupku. Semuanya bermula apabila aku mengeluarkan satu arahan yang tidak disukai oleh hampir semua pelajar tingkatan lima kerana mereka beranggapan arahan tersebut tidak memberikan keistimewaan kepada mereka sebagai pelajar senior. Mereka tidak berpuas hati disebabkan sebagai senior yang paling tua tidak mendapat layanan istimewa seperti pelajar-pelajar senior sebelum ini. Namun aku tetap bertegas kerana aku tidak ingin budaya yang tidak sihat terus menjadi budaya turun-temurun dalam kalangan generasi yang akan datang. Perkara tersebut telah menjadi isu yang besar di antara aku dengan kebanyakan pelajar tingkatan lima sehinggakan terjadinya episod pemulauan diriku selama hampir tiga bulan dalam kalangan pelajar tingkatan lima. Selama tempoh tiga bulan tersebut aku tetap menjalankan tugas sebagai ketua pelajar dan tetap melayan rakan-rakan tingkatan lima dengan sebaiknya walaupun semangatku semakin pudar dan kecewa yang teramat dengan mereka.

Perkara ini membuatkan aku mengalami tekanan yang cukup kuat sehinggakan aku mengalami sedikit kemurungan disebabkan kekosongan jiwa. Kekosongan yang membuatkan aku persoalkan semua tindak tanduk diriku sebagai seorang manusia pada masa tu. Pernah sekali aku mempersoalkan akan tujuan aku hidup di muka bumi ini dan juga matlamat hidupku sebagai seorang pelajar. Perkara ini berlanjutan hampir dua bulan dan menyebabkan pelajaranku sedikit merosot dan banyak fokusku terganggu. Namun, alhamdulillah aku bersyukur ke hadrat Illahi kerana tetap diberikan kekuatan untuk bangkit semula dan perbetulkan keadaan. Aku cuba untuk bangkit dan perbetulkan semula cara pemikiranku. Aku cuba untuk menjadi positif dan menjadikan ujian yang aku hadapi ini sebagai satu titik tolak untuk aku maju kehadapan. Dipendekkan cerita, akhirnya mereka melihat kesan yang positif daripada arahanku malahan mereka mengakui yang junior lebih menghormati mereka sebagai senior. Selama tempoh tiga bulan tersebut, aku banyak belajar akan sifat manusia. Aku mula menghayati erti sebenar hubungan persahabatan dan pentingnya untuk seseorang itu memiliki sahabat di sampingnya tidak kira susah mahupun senang. Di sini lah hadirnya insan yang bernama Nadzrie yang banyak membantuku walaupun hanyalah sebagai pendengar setia tetapi aku tetap menghargainya. Peristiwa ni merupakan titik permulaan aku untuk menjadi positif dan lebih matang dalam menilai ertinya persahabatan.

Aku tersenyum puas dengan hasil daripada ujian dan dugaan tersebut. Aku bersyukur kerana Allah memilihku untuk diuji dengan ujian tersebut sebab aku yakin dan percaya di akhirnya nanti pasti akan tersedianya suatu nikmat kemanisan sebuah ujian kehidupan.

Lamunanku terhenti apabila aku sedar yang telefonku berbunyi sekali lagi. Aku perlahan-lahan mencapai telefon tersebut dan mula membaca isi pesanan ringkas daripada Nadzrie.   

Nadzrie : Assalamualaikum sahabat perjuanganku, apa khabar saudara di sana?
Aku : Waalaikumussalam, ni dah kenapa guna ayat-ayat baku? Tolonglah aku geli baca ayat tu hahaha, tapi aku alhamdulillah sihat. Kau apa khabar?

Setelah beberapa minit bermuqaddimah dan bergurau senda dengan Nadzrie sebagai cara untuk menghilangkan perasaan kurang selesa, maka dia pun meneruskan niatnya.

Nadzrie : Sebenarnya, aku memerlukan nasihat dan pertolonganmu untuk aku keluar daripada kekecewan hatiku. Aku tidak kuat untuk menghadapi ujian ini. Hatiku sakit sangat bila fikirkan masalah ni. Semuanya bermula apabila aku minat dengan seorang perempuan di kampusku tapi sayang sehari sebelum aku meluah perasaan kepada si dia, aku mendapat tahu yang si dia ni sudah berpunya. Aku sangat kecewa sebab penantian selama ni di akhiri dengan kekecewaan. Tolong aku, hatiku sakit sangat dengan perasaan kecewa ni. Aku dah tidak sanggup untuk datang kelas dan bertemu dengannya. Hati dan perasaanku sudah retak dengan pengharapan yang dipenuhi dengan kekecewaan. 

Aku : Mashaa Allah Nadzrie bahaya ni, simptom-simptom yang kau beritahu ni sangat kronik. Allahu, sekejap aku telefon hospital dulu. Hati yang retak ni kena rawat dengan segera kalau tak dirawat alamatnya raya tahun ni dalam tanah dah ni. Sebelum kau pergi meninggalkanku, kau ada apa-apa wasiat untuk aku sampaikan kepada sesiapa? Tapi aku nak 10% hartamu ya. hahaha
Nadzrie : Kurang asam punya budak, aku tengah dalam dilema boleh pula kau main-main di situ. Menyesal aku kongsi masalahku dengan kau huhuhu. Kau tak faham perasaanku sekarang. Kau tak rasa betapa sakitnya aku rasa sekarang ni. Ada kawan, tapi langsung tidak membantu. Menyesal aku hantar mesej ni dekat kau.
Aku : wahai sahabat, di saat kau terima satu ujian jangan mudah putus asa, jangan mudah kau jadi kecewa dek kerana sakitnya dan peritnya sebuah penantian yang diakhiri dengan kekecewaan. Sabar dan teruskan bersabar. Lagipun benda yang kau nantikan itu adalah satu perkara yang belum pasti. Satu perkara yang hanya diuruskan khas oleh Allah. Rileklah dulu, tarik nafas dalam-dalam dan minum air dahulu untuk menenangkan hatimu. Ingatlah dengan mengingati Allah, hati jadi tenang.
Nadzrie: Ah! Kau cakap senanglah, kau apa tahu? Kau tak rasa apa yang aku rasa sekarang ni, kesakitan hati disebabkan kekecewaan. Aku kecewa dengan diriku, aku kecewa dengan hidupku.

Aku tersenyum dan tarik nafas sebelum aku balas mesejnya. 

**********************************************************************************************************

Begitulah kehidupan, kehidupan yang diwarnai dengan pelbagai ujian dan dugaan untuk menjadikan seseorang  itu lebih matang dalam membuat keputusan sama ada untuk memilih jalan ke arah kebahagiaan ataupun penderitaan. Dalam hidup kita, kita akan dipengaruhi oleh dua faktor perangsang iaitu faktor derita vs faktor bahagia. Faktor perangsang ini lah yang akan menentukan seseorang itu berjaya dalam menghadapi ujiannya atau sebaliknya. Saya akan mengulas sedikit sebanyak berkenaan faktor ini supaya anda lebih faham dan tahu untuk membezakan di antara faktor derita dan faktor bahagia. 

Daripada dua kisah di atas, saya cuba untuk mendemonstrasikan kepada anda tentang faktor derita dan faktor bahagia yang mana pada kisah memori di sekolah tersebut menggunakan faktor derita sebagai faktor perangsang untuk dia bangkit membetulkan keadaan dan menjadi lebih positif dan bahagia. Demikian pula untuk kisah kedua, kisah ini menggunakan faktor bahagia yang dikejar dan dijadikan faktor perangsang tapi sayang di penghujung kisahnya dia tidak dapat merasakan kebahagiaan tersebut sebaliknya merasakan derita kekecewaan daripada sebuah penantian yang di akhiri dengan kekecewaan. 

Terkadang kita salah dalam menilai faktor perangsang disebabkan kita terlalu leka atau terlalu mengejar nilai sebuah kebahagiaan sehinggakan kita lupa akan faktor yang sangat penting yang boleh menjadi sebuah faktor utama dalam menentukan kebahagiaan atau penderitaan.  Bagaimana caranya untuk kita menilai faktor perangsang ni? Apakah hanya dengan berfikir sejenak dan kita dah boleh membuka langkah yang baru atau kita buat dahulu dan kemudiannya kita fikir?

Inshaa Allah, anda jangan khuatir kerana saya tetap akan berkongsi cara-cara untuk menilai faktor perangsang ini. Jika anda ingin melakukan sesuatu tetapi anda tidak melakukannya, atau sesuatu yang anda lakukan padahal anda berharap tidak melakukannya maka ambil lah langkah-langkah ini untuk dijadikan pedoman.

1. Sedarlah bagaimana anda mengaitkan penderitaan dan kebahagiaan dengan tindakan tersebut dan kemudiannya ubahlah tindakan tersebut. Titik asalnya adalah dengan anda menyedari sepenuhnya cara anda mengaitkan penderitaan dan kebahagiaan dengan pelbagai tindakan anda.
2. Ambil sehelai kertas dan tulislah semua penderitaan atau kesusahan yang mungkin boleh berlaku sekiranya anda melakukan atau tidak melakukan satu-satu tindakan tersebut.
3. Kemudiaannya, tulis pula kebahagian dan kesenangan yang anda akan kecapi sekiranya anda melakukan atau tidak melakukan sesebuah tindakan tersebut. 
4. Muhasabah diri dengan membaca semua penderitaan dan kebahagiaan yang mungkin akan muncul dengan tindakan-tindakan yang anda ambil. 
5. Berfikirlah sejenak untuk mendapatkan dan mencari jalan menuju kebahagiaan anda. 

Saya suka untuk mengajak kita semua untuk duduk sebentar dan rehatkan minda anda daripada memikirkan masalah dan solusi. Carilah masa yang lapang untuk menenangkan fikiran kita daripada keserabutan duniawi. Muhasabah diri sejenak adalah lebih baik daripada solat sunat.

Selamat Membaca.

Tuesday, 15 May 2018

Impian : Cita-cita atau Mimpi ?

Assalamualaikum dan salam ukhuwah sebagai pembuka bicara, 

Beberapa hari lepas saya ada menyaksikan sebuah filem tamil di TV2 yang bertajuk 36 Vayadhinile. Cerita tersebut sangat menarik kerana ianya berkisarkan tentang seorang wanita yang telah berkahwin yang cuba untuk bangkit untuk memperjuangkan impiannya untuk menjadi seorang wanita yang berjaya walaupun ramai orang sentiasa cuba untuk menjatuhkan semangatnya.  

Mesti semua nak tahu serba sedikit plot cerita tersebut kan? Jangan risau, di bawah ini saya akan ceritakan serba ringkas berkenaan plot cerita tersebut. 

Cerita tersebut dimulakan dengan pengenalan kepada seorang watak wanita yang bernama Vasanthi yang bekerja di bawah agensi kerajaan. Dia telah berkahwin dan mempunyai seorang anak bernama Mithi. Pada permulaan filem ini, watak Vasanthi telah gagal dalam temuduga untuk mencari kerja tambahan untuk membiayai kos penerbangan ke Ireland bersama suami dan anaknya dan hasratnya tersebut terpaksa dipendam buat sementara waktu. Cerita ini diteruskan apabila seorang pesuruhjaya polis telah mengeluarkan arahan untuk menyiasat latar belakang Vasanthi. Pada mulanya saya sendiri tidak faham kenapa dan mengapa polis mula bertindak sedemikian kepada Vasanthi, sehinggakan saya sendiri membuat andaian yang Vasanthi ni telah diperangkap oleh seorang menteri jahat dan dijadikan kambing hitam untuk menutupi kesalahan jenayah yang telah berlaku. Tetapi ternyata semua telahan saya ternyata salah dan semuanya terungkai apabila dia dijemput untuk bertemu dengan Presiden India kerana satu soalan yang ditanya oleh Mithi kepada Presiden India telah menarik minat Presiden India untuk bertemu dengan mak kepada budak tersebut iaitu Vasanthi. 

Vasanthi sangat terkejut dan berdebar kerana anaknya, Mithi tak nak beritahu soalan yang dia tanya kepada Presiden India disebabkan sehari sebelum tu mereka telah bertengkar disebabkan Mithi nak bekerja apabila mereka pindah ke Ireland. Di pendekkan cerita, Vasanthi pun bertemu dengan Presiden India tetapi sayang dia telah pengsan sebaik sahaja bersua muka dengan Presiden India dan perkara ini telah menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat India sehinggakan ada orang yang membuat satu page di mukabuku semata-mata untuk mengutuk dan mempermainkan Vasanthi. Perkara ini menyebabkan suami dan anak Vasanthi berasa malu sehingga mereka membuat keputusan untuk pergi ke Ireland tanpa Vasanthi. Vasanthi sangat kecewa dan mula berasa putus asa dalam hidupnya kerana dia sebenarnya anak yatim piatu dan suami serta anaknya sahajalah yang ada untuknya. Vasanthi tetap berusaha untuk pergi ke tempat kerja walaupun dia akan diejek dan dipermainkan oleh rakan sekerjanya dan pada masa yang sama suami dan anaknya telah pergi ke Ireland meninggalkan Vasanthi di India.

Hari terus berlalu sehinggalah pada suatu hari, seorang kawan kepada Vasanthi datang dan memberikan semangat kepada Vasanthi. Dia telah mengimbas kembali kisah hidup mereka di universiti dulu. Satu persoalan yang dia tinggalkan kepada Vasanthi adalah " di mana Vasanthi yang dulu?". Persoalan ini lah yang menyedarkan dan mengejutkan semula Vasanthi daripada tidur yang panjang untuk kembali mengejar impiannya. Lalu di sinilah bermulanya perjuangan Vasanthi untuk menjadi seorang wanita yang lebih berjaya dan mampu mengubah nasib rakyat India.

Kisah ini sangat menarik untuk ditonton oleh anak muda mahupun golongan tua kerana ianya menceritakan tentang kebangkitan dalam mengejar impian.

Saya sangat tertarik dengan filem ini kerana ianya berkaitan dengan impian dalam hidup seseorang. Saya yakin ramai daripada kalangan kita sudah lama meninggalkan cita-cita untuk mengejar impian disebabkan kesibukan bekerja, berkeluarga mahupun disebabkan sifat malas yang hadir dalam diri seseorang. Pernah tak terlintas dalam fikiran kita pasal impian kita yang pernah menjadi suatu matlamat untuk dicapai suatu masa masa dahulu?

IMPIAN??

Apa yang menarik dengan impian ni sebenarnya? Apakah maksudnya sama dengan cita-cita? Apa dan di mana impian anda?

Ramai orang selalu berkata " dulu saya ada impian untuk menjadi itu dan ini, untuk memiliki itu dan ini tetapi sayang saya sangat sibuk dan saya sudah tua untuk mempunyai impian tersebut". Kenapa ayat-ayat ni keluar dari mulut seseorang yang dahulunya mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengejar impian mereka? Apakah disebabkan semata-mata sibuk ataupun sudah hilang semangat untuk mengejar semula impian tersebut? Saya yakin dan percaya yang kita sendiri mempunyai jawapan untuk persoalan tersebut.

Saya yakin dan percaya kita semua sudah maklum dan faham makna tersirat berkenaan impian dan juga perbezaan serta persamaan di antara impian dan cita-cita. Oleh itu, saya tidak akan hurai panjang berkenaan bab ni tapi cukuplah dengan menjentik sedikit pemikiran kita semua dengan persoalan di atas ni. Saya tertarik untuk memulakan penulisan ini disebabkan saya sedar akan impian saya untuk memberi motivasi kepada orang ramai dan saya juga ingin memulakan langkah baru untuk mengejar semula impian-impian saya. Dan melalui penulisan inilah akan menjadi saksi langkah pertama yang saya ambil untuk memulakan misi merantau mengejar impian saya.

Ini merupakan entry saya yang pertama dan saya sengaja memulakannya dengan penulisan bertajuk impian kerana di sini lah bermulanya cita-cita kita untuk mengejar kejayaan. Pernah tak kita terfikir, semua kejayaan yang kita capai ini adalah kerana dahulu kita mempunyai impian yang kita nak capai? Kejayaan itu bermula daripada sebuah mimpi yang dijadikan impian dan melahirkan semangat untuk terus berusaha demi merealisasikan sebuah harapan yang dipegang sejak dahulu. ketahuilah yang impian itu merupakan satu elemen yang sangat penting untuk seseorang terus maju kehadapan dan menjadi seorang yang berjaya. Dalam hidup ini, kita memerlukan suatu matlamat atau cita-cita untuk dikejar dan diusahakan demi mencipta kejayaan untuk diri sendiri. Dengan adanya impian, kita akan mampu menghadapi segala jenis ujian dan dugaan yang mampu mendidik diri kita untuk menjadi seorang yang lebih positif dan lebih terkehadapan.

Apakah impian itu sebuah harapan atau hanya sekadar sebuah angan-angan mat jenin?

Saya sengaja mengeluarkan persoalan ini untuk kita semua kembali berfikir berkenaan impian masing-masing dan di sini lah kita perlu pilih sama ada impian itu cita-cita atau hanyalah sebuah mimpi yang menjadi mainan dalam tidur kita. Pilihan ini ada di tangan kita sendiri dan bukan tangan orang lain. Ingat, impian itu bukan untuk orang muda sahaja, tetapi untuk semua orang tak kira kaya mahupun miskin, tak kira sihat mahupun sakit, kerana impian itu adalah sebuah pengharapan dari lubuk hati seseorang.

Ayuh bangkit dan sedarkan diri yang masih diulit mimpi untuk mengejar impian kita. Impian yang menjadikan kita bersemangat dan berusaha keras. Cuba ingat kembali impian-impian kita yang telah melahirkan semangat yang mampu menolak kita untuk berdiri pada hari ini. Ambil masa dan renung semula, apakah ini hidup yang kita inginkan, kehidupan yang akan kita ceritakan kepada anak cucu kita?

Mungkin ramai yang akan tersedar tetapi tidak tahu cara atau langkah yang sepatutnya diambil. Jangan risau, saya ada untuk membantu anda. Tips di bawah ini hanyalah sebuah teori semata-mata melalui pemerhatian dan pengalaman saya.

Langkah-langkah tersebut adalah :

1. Keluarkan sekeping kertas dan tulis semula semua impian anda.
2. Buat Check & balance dan lihat berapa banyak impian yang telah berhasil dibuat dan sebaliknya.
3. Dapatkan motivasi sama ada daripada pasangan anda atau melalui video-video inspirasi.
4. Susun strategi yang ampuh untuk melaksanakan impian tersebut ( kos perbelanjaan dan lain-lain).
5. Nikmatilah impian anda.

Tips yang saya bagi ni sangat mudah dan senang tetapi akan memerlukan semangat dan keazaman yang kuat kerana bukan mudah untuk merealisasikan impian yang ada. Di bawah ini saya sertakan sebuah video untuk tontonan semua untuk memberi sedikit sebanyak motivasi untuk bangkit berdiri mengejar impian masing-masing.





Selamat membaca dan selamat mencuba. Saya doakan kita semua mampu untuk mencapai impian masing-masing. Satu persoalan yang saya akan tinggalkan untuk kita sama-sama fikirkan,

Apakah impian itu sebuah cita-cita atau hanyalah sekadar mimpi?

Ambil masa dan renungkan lah. 

Aku Si Kosong

Assalamualaikum dan salam ukhuwah saya ucapkan sebagai pemula tinta kali ini. Sebagai muqaddimah untuk entri pada kali ini, saya ...